KUCHING: Hospital Daerah Serian dan Klinik Kesihatan Kampung Bunan Gega memerlukan perhatian khas daripada Kementerian Kesihatan dalam usaha memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat sekitarnya.
Martin Ben (BN-Kedup) berkata, misalnya Hospital Daerah Serian memerlukan perhatian khas dari segi keperluan, sementara Klinik Kesihatan Kampung Bunan Gega memerlukan penambahbaikan serta dinaik taraf.
“Hospital Daerah Serian yang dirasmikan pada 1977 merupakan salah sebuah hospital daerah paling sibuk dari segi bilangan pesakit luar dan pesakit dimasukkan ke wad.
“Jumlah pesakit luar yang berjumpa dan menerima rawatan doktor mencecah 200 orang sehari dan ini tidak termasuk yang berjumpa dan menerima rawatan daripada Penolong Pegawai Perubatan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan (2013), 2012 dan Usul Merujuk Resolusi Anggaran Perbelanjaan Pembangunan, 2013 di DUN di sini, semalam.
Martin menjelaskan melalui Bajet 2013 sebanyak RM19.3 bilion telah diperuntukkan bagi perkhidmatan mengurus dan pembangunan kesihatan seluruh negara.
“Saya amat berharap Hospital Daerah Serian dan Klinik Kesihatan Kampung Bunan Gega mendapat agihan yang diperlukan supaya perkhidmatan kesihatan di kedua-dua tempat ini lebih berkualiti,” katanya.
Berhubung isu jalan utama Pan Borneo, beliau mencadangkan dan merayu kepada kerajaan pusat untuk memberi perhatian khusus kepada penambahbaikan dan pembinaan laluan dua hala untuk jalan utama Pan Borneo.
Katanya, mengikut statistik Jabatan Keselamatan Jalan Raya Negeri lebih daripada 300 kemalangan teruk dan kematian dicatatkan sepanjang tahun 2011 di jalan Pan Borneo.
“Walaupun kecuaian manusia adalah penyebab utama namun kita tidak mengabaikan faktor keadaan permukaan jalan yang tidak begitu selamat.
“Hal inilah antara penyumbang utama mengapa jumlah kemalangan dan kematian meningkat saban tahun di jalan Pan Borneo,” tegasnya.
Malah, kata Martin, kepadatan penduduk yang kecil ataupun kepadatan kenderaan yang menggunakan jalan tersebut rendah bukan alasan untuk tidak memandang serius keperluan untuk jalan Pan Borneo dibina dua hala.